Mendengar, Membaca, Menghayati Al-Quran Secara Online

Artikel ini ditulis oleh abah saya Mohd Faizal untuk blog.farisya.com

Sebagai seorang yang mengaku Islam,  kita sudah tentu tidak boleh mengabaikan diri dari mempelajari dan menghayati kitab suci Al-Quran. Al-Quran diturunkan kepada Junjungan Nabi Muhammad (s.a.w) adalah penyuluh kepada umat manusia sejak ia diturunkan sehinggalah ke akhir zaman.

Mendengar surah dan ayat  al-quran bukan sahaja menenangkan jiwa malahan diberi ganjaran pahala kepada pendengarnya. Apatah lagi kalau kita sendiri membaca, menghayati serta mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri, sudah tentu ganjaran pahala yang berlipat ganda Allah S.w.t akan berikan, InsyaAllah.

Namun apa yang menjadi permasalahan terdapat  di kalangan segelintir umat Islam, bukan setakat agak keberatan membaca dan menghayati Al-Quran, malah agak keberatan juga sekadar hanya mendengar bacaan ayat Al-Quran itu sendiri. Pelbagai alasan diberikan sebagai contoh tiada masa, tiada bahan yang boleh diperdengarkan dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama segelintir umat Islam ini menghabiskan masa dan wang ringgit mendengar dan membeli sesetengah lagu atau musik hiburan yang tidak membawa sebarang manfaat.

Sebenarnya kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari sumber atau bahan untuk menghayati Al-Quran, Di zaman teknologi maklumat seperti internet,  terdapat begitu banyak bahan yang  berkaitan dengan Al-Quran yang kita boleh dapati secara mudah dan percuma, hanya terpulang pada kita samada mahu atau tidak.

Dalam artikel ini saya cuba berkongsi beberapa sumber yang berkaitan dengan Al-Quran yang boleh dimanafatkan bersama. Sudah tentu di internet misalnya terdapat ribuan sumber yang berkaitan dengan Al Quran, tetapi di dalam artikel ini saya senaraikan laman web berkaitan dengan Al-quran yang saya sering kunjungi.

1. Laman Tafsiran Al Quran Dalam Bahasa Melayu

http://www.iium.edu.my/deed/quran/malay/

Laman web ini mempaparkan tafsiran dalam bahasa Melayu mengikut surah-surah yang terkandung di dalam Al-Quran. Setiap tafsiran di dalam satu surah ditafsirkan mengikut bilangan ayat-ayat yang tertentu di dalam surah tertentu. Sebagai contoh Surah Al-fatihah terdapat 7 ayat, maka setiap ayat ditafsirkan berasingan dari ayat 1 hingga ayat 7. Ini memudahkan kita mencari tafsiran untuk sesuatu ayat di dalam sesuatu surah. Bagi mereka yang tidak mempunyai buku atau Alquran yang mempunyai tafsiran, laman ini menyediakan carian tafsiran yang mudah dan pantas. Jadi tidak ada alasan untuk kita tidak mahu atau malas mencari tafsiran sesuatu ayat Al Quran.

Laman bacaan Al Quran (Audio)

http://alihssen.com/

Saya sering mengunjungi laman web ini sekiranya saya ingin mendengar bacaan ayat-ayat Al Quran. Laman ini menjadi pilihan saya kerana bacaan boleh diperdengarkan dari pelbagai Qari-qari yang terkenal dan disegani. Malahan setiap ayat yang diperdengarkan, dipersembahkan dalam kualiti audio yang amat baik dan jelas, tidak seperti kebanyakkan laman web lain yang biasanya dalam kualiti yang rendah dan kurang jelas. Malahan laman laman web ini membenarkan untuk kita download semua ayat di dalam Alquran (dalam format mp3) pada kualiti yang tinggi serta pantas.

Untuk mendengar dan memuat turun audio Al-Quran, pergi menu Top Reciter dan pilih Qari pilihan kita. Dari situ kita akan dibawa ke senarai surah-surah Al-Quran. Di sini kita boleh meilih mendengar secara online dan memuat turun surah-surah yang tersenarai. Audio surah-surah Al Quran ini boleh di mainkan di komputer atau dimainkan pada alat-alat yang boleh memainkan audio format mp3..

Aplikasi Al-Quran di Laman Social Facebook

http://www.facebook.com/jommengaji

Sekiranya anda mempunyai akaun Facebook, saya sangat  menyarankan untuk anda mengunjungi atau “Like” Fan Page Kempen Jom Mengaji. Ini kerana di dalam Kempen Jom mengaji disediakn satu Applikasi Al-Quran yang sangat baik dan menarik. Di dalam aplikasi ini kita boleh mendengar bacaan Al-Quran untuk setiap surah serta tafsiran dalam pelbagai bahasa (termasuk bahasa Melayu). Seperti laman web yang saya nyatakan di atas, aplikasi AlQuran ini juga menawarkan kualiti audio yang sangat baik serta mesra pengguna. Jadi sekiranya kita mempunyai akaun Facebook, selain dari main game atau “Like” Fan Page artis-artis, kenapa kita tidak “Like” Fan Page Kempen Jom Mengaji ini.

Laman web yang saya kongsi di atas adalah sebahagian dari laman web berkaitan dengan Al-Quran. Anda boleh mencari laman web yang lain dengan mencari di internet. Kepada pembaca, saya juga ingin mengingatkan, anda perlu belajar Al-Quran dengan seorang guru yang mahir dalam Al-Quran. Laman web yang saya nyatakan di atas adalah satu sumber sampingan selain dari keperluan utama belajar dari seorang guru.

comments

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply